AKAN tiba masanya semua etnik di negara ini perlu menampakkan identitinya secara bersungguh-sungguh. Terutama di Sabah, detik itu sudah tiba dan tidak boleh dilengahkan lagi. Mesti lakukan sekarang melalui HARI ETNIK SABAH.
Hari etnik ini ertinya, hari yang mana semua etnik di Sabah memakai baju tradisi masing-masing dengan lengkap. Betul betul lengkap, bukan main hentam pakai sahaja supaya si pemakainya dapat menampakkan identiti sebenar etniknya.
Bukan setakat pakai baju etnik sahaja pada hari itu. Wajib juga cakap dalam bahasa etnik masing masing sebab bahasa juga identiti bangsa.
Aspek lain yang perlu juga dinampakkan ialah nilai nilai atau etika hidup etnik tersebut. Maknanya tingkahlaku setiap pemakai baju itu pada hari itu dipandu oleh tatasusila etniknya.
Hari etnik Sabah ini perlu diadakan sekali dalam sebulan. Dilakukan oleh pemimpin pemimpin etnik itu sendiri sebelum dicontoi oleh jutaan pengikutnya.
Ada pula standard kualiti perilaku pemakaian. Contohnya, tidak boleh memakai baju etnik lain untuk elak kekeliruaan dan salah faham.
Apakah hari yang sesuai bagi hari etnik Sabah? Hujung minggu lah--Sabtu atau Ahad. Hari hari biasa kurang sesuai, anggota perkhidmatan awam tidak boleh menyertai terutama yang berpakaian seragam seperti polis dan bomba.
Pada tahap ini wajar juga disebut mengapa kita perlu lakukan ini. Akhirnya kita kehilangan jati diri jika kita berterusan "menapuk" identiti kita disebalik baju baju lain dan bahasa lain. Oleh itu kita perlu pakai baju sendiri dan bahasa sendiri.
Konsep ini tidak bertujuan melawan dasar perpaduan negara. Kita perlu nampakkan identiti sahaja melalui pakaian tradisi dan bahasa ibunda pada hari itu. Ini tidak menghalang daripada bergaul dengan bangsa lain.
Ini memudahkan kita melakukan ethnic inventory Sabah bagi tujuan menetapkan hakcipta budaya etnik berkenaan. Bagi etnik yang belum ada baju tradisi sebagai contoh, tentu berasa tidak selesa sebab ketika etnik lain sudah dengan bangganya menampakkan baju mereka, etnik itu tiada baju yang dipakai untuk menampakkan identiti. Hal ini akan mendorong etnik itu kembali kepada budayanya, mengkaji sastera rakyatnya apakah baju yang dipakai oleh etniknya di zaman lampau. Dengan sedikit kerajinan dan pengorbanan wang dan masa, etnik itu pasti dapat kesan baju tradisinya dalam cerita rakyat legenda atau mitos. Dengan kata ini, hari etnik sabah ini akan memberi mesej kepada etnik etnik bersatu untuk kepentingan melindungi dan memulihara warisan ibunda mereka.
Usaha pelbagai NGO selama ini dalam memperkenalkan identiti etnik masing masing perlu diperkasakan dengan impian etnik berkenaan kekal menampakkan pengaruhnya dalam konteks budaya dalam arus perdana. Pemerkasaan usaha berkenaan menjadikan generasi muda kekal punya jati diri terhadap kaumnya. Umpamanya, dalam situasi tertentu tetap memilih bambangan, langsat, rangalau bulunuh atau tarap walau ada apple di sana sini.
Sebagai ingatan bersama, internet telah membuka ruang bagi generasi baru untuk mengkagumi negara lain tanpa mengalihkan punggung. Memadai kekal menghadap komputer untuk ke mana mana negara di dunia, mengetahui hal ehwal negara itu.
Kerana masih mudah dan masih belum terbentuk jati diri, golongan muda ini mudah berwatak bundar, mudah dipengaruhi oleh hal hal yang nampak baik tetapi sebenarnya jahat dari segi perundangan, nilai, etika dan moral etnik etnik Sabah. Kita mahu generasi muda berminda dunia tetapi kekal berjiwa local. Apa lagi pilihan terbaik selain menanamkan jati diri dalam jiwa mereka.
Kami ingin melihat apa yang kami bayangkan sekarang. Setiap bulan di seluruh Sabah semua etnik mengenakan pakaian tradisi masing masing. Jika ke Kudat, nampak warna warni identiti Rungus. Jika ke Kota Marudu, nampak pelbagai etnik dalam pakaian tradisinya. Teruskan imiginasi anda masing masing, pasti meremang bulu roma.
No comments:
Post a Comment