Monday 23 November 2015

BANGKITLAH SEPERTI AIR YANG TERBAKAR MEMPERTAHANKAN NEGERI SABAH (dari kolum saya, APA SAJA LAH di The New Sabah Times 23 nov 2015)

Dalam kolum ini, kami pernah menyuarakan kebimbangan tentang keselamatan rakyat Sabah berikutan dengan kejadian penculikan demi penculikan yang berlaku di pantai timur Sabah di bawah tajuk TIDAK CUKUP HITAM KAH SEJARAH SABAH? Untuk mengingatkan kembali hal ini, wajar juga kami menyebut sekali lagi apa yang kami telah tulis beberapa bulan lalu.
Pada 14 Mei, 2015 di Ocean King Restaurant, kira-kira 3 kilo meter jauhnya dari bandar Sandakan, berlaku penculikan terbaru yang melibatkan pemilik restoran itu, Thein Nyuk Fun dan seorang pelanggan, Bernard Then Ted Fen. Lebih menakutkan lagi kejadian itu berlaku hanya sekitar 3 kilo meter sahaja jauhnya daripada ESSCOM--agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengawal keselamatan pesisiran pantai timur dan utara Sabah. Thein Nyuk Fun bernasib baik kerana selamat kembali ke pangkuan keluarga baru-baru ini sesudah sengsara dalam tawanan penculik beberapa bulan lamanya.
Namun, takala kita gembira kerana akhirnya Thein Nyuk Fun selamat, kita dikejutkan dengan pembunuhan kejam Bernard Then Ted Fen oleh penculik baru-baru ini. Hal ini menjadi perhatian Dewan Rakyat dan ucapan takziah ditujukan kepada keluarga Bernard Then. Di Sabah, Ketua Menteri Sabah YAB Datuk Seri Panglima Musa Aman mengutuk tindakan itu. Maknanya kedua-dua dewan pembuat keputusan menyedari apa yang telah berlaku. Kami, secara peribadi mengharapkan supaya Manila dan kerajaan-kerajaan lain di dunia yang cintakan keamanan akan lebih bersimpati kepada rakyat Sabah yang sememangnya terkenal dengan sikap berbaik-baik dengan sesiapa sahaja tanpa memilih kaum, agama, kepercayaan dan fahaman politik.
Kami juga menyebut bahawa prestiwa berdarah Tonduo ialah ibu kepada ketakutan rakyat Sabah. Rakyat masih ingat, Sabah pada ketika itu seakan di ambang peperangan yang musuhnya ada di mana-mana, telah menyusup entah bila. Kejadian ini telah memaksa kerajaan mempertingkatkan kawalan keselamatan persempadanan Malaysia-Filipina melalui penubuhan ESSCOM.
Sepanjang tahun 2014, empat kejadian penculikan telah berlaku yang bukan sahaja mendatangkan ketakutan rakyat Sabah malahan turut menggerunkan komuniti dunia khususnya pelancung, iaitu seorang pelancung warga negara Cina di Singa mata Reef Resort Semporna diculik pada 2 April, kemudian disusuli lagi dengan penculikan seorang warga negara Cina di Pulau Baik di Lahad Datu diculik pada 6 Mei, manakala Pengurus Ladang Ikan di Kampung Air Sepang Kunak diculik 16 Jun dan Polis Marin di Pulau Mabul Semporna diculik pada 12 Julai.
Kami juga berasa hairan, mengapa rakyat Sabah kurang menampakkan kepekaan kepada keselamatan negeri ini. Sungguhpun Sabah mengalami beberapa prestiwa penculikan, pencerobohan dan juga penjajahan namun prestiwa hitam ini gagal membentuk ketakutan yang melampau sehingga mewujudkan budaya menjaga keselamatan negeri Sabah.
Wahai rakyat Sabah, tunggu apa lagi? Marilah bangkit dengan semangat membara seperti air yang terbakar mempertahankan negeri ini daripada ancaman musuh. Bangkitlah dengan model keselamatan negeri Sabah yang kita sayangi ini. Semoga dengan adanya model keselamatan itu yang dibangunkan sendiri oleh rakyat, lama kelamaan akan menjadi budaya rakyat Sabah untuk bangkit menjaga keselamatan rakyat bersama-sama dengan pasukan keselamatan kita.

No comments:

Post a Comment