Terutama yang seusia kami, lahir tahun 1957, memang terasa hidup dulu-dulu sangat susah. Terlalu sedikit kesenangan yang kami pernah rasa dan sebab itu kami mampu bercakap hal kesusahan itu berulang-ulang, tidak pernah rasa bosan. Terlalu banyak hal yang mudah diingat, seakan baru terjadi semalam. Masih jelas dalam ingatan walau sudah berlalu berdekad lamanya dan ingatan itu bukan dalam hitam putih tetapi dalam ingatan berwarna.
Kesusahan itu berlaku dalam zaman kanak-kanak, sekitar usia lima tahun. Hal ini mungkin tidak berlaku di tempat lain di Sabah. Kami tidak pasti. Dengan pengakuan ini, kami tidak memaparkan pengalaman hidup bagi pihak orang lain di luar Daerah Bandau (Kota Marudu).
Peta Sabah memang unik. Bahagian atas nampak macam kepala serigala. Nampak lapar--sentiasa mengangga. Berdekatan zon mengangga inilah letaknya Daerah Bandau dan ada dua kampung namanya Damai dan Layung dalam daerah ini. Dua buah kampung inilah dunia awal hidup kami--kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa tetapi penuh dengan pelbagai angan-angan.
Bila nampak kapal terbang, cepat menghayalkan suatu hari nanti dapat naik entah terbang ke mana. Bila bapa kami cakap tentang balasan kejahatan, kami betul-betul takut api neraka dan mula mengharapkan dapat masuk syurga.
Bila kawan-kawan mengkagumi orang berambut ikal mayang, kami pun mahu juga ada rambut begitu sehingga sanggup keritingkan rambut guna dawai jemuran. Tidak menjadi sebab dawai terlalu panas--rambut hangus.
Cuba lagi cara lain. Minyak orang India jual di tamu. Terpengaruh cakapnya yang kononnya rambut gerenti keriting bila pakai itu minyak, kawan beli dan kami dapat sedikit. Tipu, rambut masih juga lurus. Cara lain, guna bedak keras. Uli rambut dengan bedak putih itu dan biarkan beberapa minit. Kononnya rambut boleh keriting. Juga tidak menjadi.
Last sekali, ini cousin kami ajar, botakkan kepala, pecahkan dua biji telor atas kepala. Lumurkan kepala dengan telor itu sebelum diperah dengan nenas. Bungkus kepala sehingga rambut panjang. Kononnya gerenti kereting macam penyanyi pop jeffredin. Kami tidak pernah cuba kaedah yang menakutkan ini. Kami yakin ini juga kaedah yang gagal sebab cousin kami yang ajar cara ini masih juga lurus rambutnya.
Orang bilang, semiskin-miskin orang kampung ada juga sedikit ayam. Kami penduduk kampung itu juga begitu, malahan memang ayam banyak. Kami teringat, bila jagung ditaburkan di halaman rumah, banyak ayam berebut-rebut makanan. Tetapi satu hal yang kami tidak faham, mengapa ayam sebanyak itu tidak dijadikan lauk kecuali ada yang sakit? Kami juga tidak faham mengapa ketika sakit sahaja baru dapat minum milo? Dan melebihi segalanya ialah betapa kami terperanjat apabila buat pertama kalinya terasa kicap sehingga berkata dalam hati: Ada juga makanan sesedap ini? Inilah kisah dulu-dulu yang sukar difahami oleh kanak-kanak zaman ini.